MARQUEE

SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI SMK FELCRA BUKIT KEPONG

PEMBERITAHUAN

MAKLUMAN

1)Semua pelajar yang menunggang dan membonceng motorsikal DIWAJIBKAN untuk memakai topi keledar

2)Latihan merentas desa pada setiap hari Selasa dan Rabu

3)Selamat Kembali ke sekolah buat semua warga SMK Felcra Bukit Kepong, Bersama Mencapai Kecemerlangan

4)Pelajar diingatkan untuk parkir motorsikal di dalam kawasan sekolah

Monday, 12 November 2018

Teks Ucapan Majlis Izin Ilmu 2018

Teks Ucapan Majlis Izin Ilmu 2018 oleh Tuan Haji Razak bin Johar, Pengetua SMK Felcra Bukit Kepong

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua anda calon SPM 2018. 

DI MANA ADA KEMAHUAN DI SITU ADA JALAN 



BELAKANG PARANG DIASAH LAGIKAN TAJAM 



KALAU TIDAK DIPECAHKAN RUYUNG, MANAKAN DAPAT SAGUNYA 


YANG BULAT TIDAK AKAN DATANG BERGOLEK, YANG PIPIS TIDAK AKAN DATANG MELAYANG 



SETITIS JADIKAN LAUTAN, SEKEPAL JADIKAN DARATAN 

BENIH YANG BAIK DICAMPAK KE LAUT MENJADI MUTIARA, 
DICAMPAK KE LANGIT MENJADI KEJORA 

USAHA TANGGA KEJAYAAN 

Tinggal beberapa jam lagi daripada sekarang , untuk anda semua menghadapi peperiksaan SPM. Peperiksaan ini akan dihadapi oleh anda dengan pelbagai perasaan. Ada yang begitu yakin , ada yang dalam ketakutan dan ada juga yang hanya berserah dengan keadaan. Bagi mereka yang berusaha dengan gigih, inilah masanya yang ditunggu-tunggu untuk menentukan sejauhmana usaha dan pengorbanan belajar serta mengulangkaji pelajaran, dapat dijadikan senjata atau ramuan untuk menjawab soalan. Mereka yang tidak berusaha hanya menunggu masa berakhirnya peperiksaan ini dengan sambil lewa kerana sudah tahu untung nasib mereka di meja peperiksaan . Orang yang Berjaya bermula dengan usaha yang gigih, tanpa mengenal penat dan lelah. Mereka menganggap, masa depan sangat penting melalui pendidikan . Ilmu yang ada pada mereka akan digunakan bagi memenuhi citi-cita yang mahu dicapai. 

Saya mengambil kesempatan ini untuk mendoakan semoga anda semua diberikan kesihatan yang baik, ketenangan fikiran dan ketajaman ingatan sehingga dapat menjawab kesemua soalan dengan baik, seterusnya beroleh keputusan yang cemerlang. Jagalah kesihatan diri dan emosi, jangan wujudkan konflik ,stress dan sebagainya kerana ia akan mengundang masalah dan menjejaskan persediaan anda menghadapi peperiksaan. Rakan adalah aset yang sangat berharga ketika ini kerana daripada mereka anda boleh mohon pandangan dan bantuan 

Di samping itu, jagalah hubungan anda dengan insan yang paling banyak memberi ilmu , dorongan, ransangan kepada anda iaitu, guru-guru. Jika masih belum memohon maaf dan restu daripada guru anda, sila lakukan dengan segera kepada mereka, mohon ampun dan mohon halalkan segala ilmu yang dicurahkan. Pandang mereka dengan pandangan hormat dan penuh taat.Sebenarnya para guru yang mencurahkan bakti dan tenaga sangat mengambil berat tentang pencapaian anda dalam peperiksaan ini. Anda dan guru sememangnya berusaha bersama-sama dalam menentukan sejauhmana pencapaian anda dapat dipertingkat sama ada dalam bentuk penambahan markah atau penambahbaikan gred mata pelajaran. Semua guru mahu anda lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM ini. Saya sentiasa menganggap anda semua bagaikan anak sendiri dan saya percaya guru-guru lain juga begitu. Dalam proses mendidik sudah tentu yang salah ditegur, yang tidak betul dimarahi. Itulah asam garam dalam menuntut ilmu. Namun cikgu tidak pernah melupakan anda semasa berdoa kepada-NYA kerana kejayaan anda adalah kejayaan para guru juga. 

Seterusnya , jagalah hubungan anda dengan ibu bapa. Dapatkan keredhaan ibu dan ayah, supaya doa mereka mudah dimakbulkan oleh Tuhan. Mohonlah ampun maaf daripada mereka. Sesungguhnya doa ibu bapa kita yang ikhlas itu amat mujarab, dan pastinya doa yang ikhlas itu datangnya daripada kalbu ibu bapa yang telah melahir dan membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. 

Jangan lupa menjaga hubungan kita dengan Allah .Yang bukan Islam berdoalah kepada Tuhan mereka. Berdoalah kepada Nya semoga segala usaha kita mendapat berkat dan hidayah daripadaNYA. Berdoalah untuk diri sendiri dan berdoalah juga untuk rakan-rakan yang lain. Kejayaan mereka juga merupakan kejayaan kita bersama. Ingatlah, apa pun yang kita usahakan, yang akan membuahkan hasilnya daripada Allah SWT. 

Jangan lupa bahawa subjek B.Melayu dan Sejarah adalah mata pelajaran wajib lulus. Harapan saya menggunung tinggi terhadap anda sekalian agar dapat melakar kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM pada tahun ini.Hasrat sekolah ialah meletakkan peratus kelulusan pada takat 95% dengan GPS sebanyak 4.99. Jadikanlah kejayaan itu nanti, sebagai pencetus kepada kejayaan-kejayaan yang seterusnya. Semoga Maju Jaya. Akhir kata, yakinlah pada diri dan mulailah mencipta sejarah hidup yang cemerlang, gemilang dan terbilang. IsyaAllah, cikgu yakin anda sekalian akan beroleh kejayaan sesuai dengan usaha yang dilakukan. Perahu di tangan anda. pendayung juga di tangan anda. Mudiklah perahu itu ke muara dengan selamat agar dapat mencapai matlamat anda. 

Wabillah hitaufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullah hi wabarakatuh. 

5 comments:

  1. Mohon keizinan menggunakan teks sebagai asas ucapan saya. Semoga sentiasa diberkati Allah swt - pengetua SMK Kidurong

    ReplyDelete
  2. Mohon keizinan untuk menggunakan teks ucapan ini.

    ReplyDelete
  3. Teratur nukilan dan sedap bibir membaca patah-demi patah perkataan ..

    ReplyDelete
  4. mohon keizinan untuk dikongsi. terima kasih

    ReplyDelete
  5. Saya mohon izin penulis untuk menggunakan teks ini sebagai sikit panduan untuk saya . Semoga penulis dimurahkan rezeki dan dimudahkan segala urusan.

    ReplyDelete