MARQUEE

SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI SMK FELCRA BUKIT KEPONG

PEMBERITAHUAN

MAKLUMAN

1)Semua pelajar yang menunggang dan membonceng motorsikal DIWAJIBKAN untuk memakai topi keledar

2)Latihan merentas desa pada setiap hari Selasa dan Rabu

3)Selamat Kembali ke sekolah buat semua warga SMK Felcra Bukit Kepong, Bersama Mencapai Kecemerlangan

4)Pelajar diingatkan untuk parkir motorsikal di dalam kawasan sekolah

Saturday 3 November 2018

Teks Ucapan Majlis Graduasi 2018

Teks Ucapan Majlis Graduasi Kali Ke-2 oleh Tuan Haji Razak bin JOhar, Pengetua SMK Felcra Bukit Kepong

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam sejahtera 

Terima kasih pengacara majlis. 

Yang dihormati Yang Berhormat Dr Sahruddin Bin Jamal ( Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri Johor yang juga merupakan ADUN kawasan Bukit Kepong, 

Yang berusaha , Pn Zaimon Bt Ismail , Penolong Kanan pentadbiran
AJK PIBG 

Yang Berusaha En Mansur Bin Roslan ,Penolong Kanan HEM 

Yang Berusaha Tn Hj Zaid Bin Abd Wahab, Penolong Kanan Kokurikulum 

Guru-guru Kanan , 

Para ibu bapa 

Para graduan yang diraikan 

Seterusnya para hadirin dan hadirat yang saya muliakan

Alhamdullilah, dengan izin dan keredhaan Allah SWT juga , Majlis Graduasi SMK FELCRA BUKIT KEPONG MUAR KALI KE 2 tahun 2018 ini , dapat kita adakan pada hari ini dalam suasana sederhan dan tentunya sangat bermakna buat kita semua. 

Saya mewakili seluruh warga kerja SMK FELCRA BUKIT KEPONG MUAR mengalu-alukan dan merakamkan ucapan terima kasih atas kehadiran YB , tuan-tuan dan puan-puan ke majlis ini untuk kita sama-sama meraikan anak tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Semoga hubungan baik yang terjalin antara pihak sekolah dengan ibu bapa dapat dikekalkan hendaknya. 

Kita berasa begitu bertuah dan berbangga kerana majlis kita pada hari ini dimeriahserikan dan akan disempurnakan oleh ADUN yang baru kawasan ini iaitu Y.B. Dr Sahruddin Bin Jamal. Kehadiran beliaumerupakan satu penghormatan kepada kami yang telah beroperasi kira-kira 14 tahun . Kehadiran dan keprihatinan Y.B. pastinya akan menyuntik semangat kepada kami, warga pendidik dan warga pelajar untuk terus berusaha memastikan sekolah ini dapat mencapai sesuatu kejayaan dalam bidang pendidikan . 

Kumpulan graduan yang ada di hadapan kita ini,adalah terdiri daripada 67 orang calon SPM 2018 .Pihak sekolah mensasarkan pada tahun ini kita mampu mencatatkan keputusan kelulusan sebanyak 95% dengan mata GPS berada pada 4.99. Walaupun target ini agak tinggi bagi sekolah kita , saya berharap agar segala usaha yang dilakukan dapat membuahkan hasil . 

Yang Berhormat dan hadirin yang dihormati sekalian, 

Majlis graduasi ini diadakan khusus untuk meraikan dan memberi pengiktirafan kepada putera dan puteri tingkatan 5 sekolah ini atas kesabaran , pengorbanan, komitmen dan usaha para pelajar sepanjang lima tahun berada di sekolah ini. Majlis ini juga disusun atur untuk dijadikan sebagai perangsang atau pencetus kepada mereka untuk mencapai kejayaan dalam segala bidang yang bakal diceburi pada masa akan datang. Malah diharapkan ia mampu mengukir kenangan manis dan mencatat nostalgia penuh bermakna dalam lipatan sejarah para graduan.

Kepada para graduan, di harap sentuhan majlis ini dapat membuatkan anda tidak melupakan jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh barisan pendidik . Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada guru-guru yang telah menunjukkan dedikasi dan bertungkus-lumus dalam mendidik dan memberikan tunjuk ajar kepada para pelajar sekalian. Para guru sekolah ini mempunyai harapan yang tinggi , anda semua dapat meneruskan pembelajaran di mana jua selepas SPM nanti dan seterusnya mencurahkan jasa dan bakti kepada bangsa dan negara sebaik sahaja melangkah keluar ke alam pekerjaan.

Sebenarnya Majlis Graduasi ini dan peperiksaan SPM yang bakal ditempuhi 10 hari lagi hanyalah titik permulaan jalan kehidupan yang bakal diterokai. Di hadapan para graduan nanti, terbentang pelbagai ranjau, duri dan rintangan ke arah pencapaian sebenar dalam kehidupan. Semangat perjuangan yang murni dan kekuatan iman perlu diperkukuh bagi membolehkan para graduan meneruskan perjalanan dengan penuh yakin dan tabah. Kami semua mendoakan kejayaan dan kesejahteraan anda semua.

Pada kesempatan ini saya ingin melontarkan cabaran kepada graduan agar dapat membuktikan bahawa anda semua mampu meneruskan kejayaan yang lebih gemilang untuk sekolah ini. Di saat akhir ini berusahalah dengani ltizam yang tinggi dan penuh ketakwaan berbekalkan ilmu yang dicurahkan oleh guru-guru untuk memperoleh kejayaan dan seterusnya memartabatkan nama sekolah kita dalam daerah Muar selaku antara sekolah yang mampu melahirkan keputusan yang cemerlang.

Yang Berhormat, hadirin, hadirat dan para graduan yang diraikan,

Dalam majlis ini, saya mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada guru-guru, kakitangan, dan ibu bapa sekalian. Kesediaan dan kesudian para waris untuk sama-sama berganding bahu hadir dalam Majlis Graduasi ini amat kami hargai dan kami sanjung. Kepada para graduan,hargailah harapan tinggi yang telah disandarkan oleh ibu dan bapa anda. Balaslah jasa mereka dengan mencipta kejayaan yang hasilnya begitu indah dan dapat dinikmati selama-lamanya. 

Yang Berhormat dan hadirin hadirat sekalian,

Bunga dedap di atas para, 
Anak dusun pasang pelita, 
Kalau tersilap tutur bicara, 
Jemari disusun maaf dipinta. 

Pohon berangan tempat bertemu, 
Girangnya rasa si anak dara, 
Baliklah tuan membawa ilmu, 
Binalah bangsa bangunkan Negara 

Di atas dahan burung tempua, 
Melihat rusa tepi perigi, 
Salam perpisahan untuk semua, 
Di lain masa bersua lagi. 

Bunga seroja di atas para, 
Jatuh ditimpa buah berangan, 
Andai kata tersilap bicara, 
Kemaafan jua saya pohonkan. 

Sebagai penutup, sekali lagi saya bagi pihak SMK Felcra Bukit Kepong Muar merakamkan penghargaan atas kehadiran Yang Berhormat DR Sahruddin Bin Jamal, guru-guru, ibu dan bapa, dan putera-puteri graduan. Teruskan lakaran kita untuk terus mekar memartabatkan alam pendidikan negara kita. Kepada ibu bapa sekalian, iringilah perjuangan anak-anak tuan puan menempuh peperiksaan dengan doa agar kecemerlangan yang kita harap-harapkan tercapai. Kepada para jemputan, terima kasih atas kehadiran dan sokongan anda semua. Kepada putera dan puteri graduan, perjuangan belum berakhir. Teruskan perjuangan anda. 

Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wasalamualikum warah matullah hi wabarakatuh

RAZAK BIN JOHAR 

PENGETUA, 

SMK FELCRA BUKIT KEPONG, JOHOR. 

3 NOVEMBER 2018

No comments:

Post a Comment